KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang banyak ditawarkan menjelang musim Haji.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, sekarang terdapat lambakan iklan badal haji di media sosial yang menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

Menurutnya, bila ditanya siapa yang akan diupah untuk mengerjakan Badal Haji, kebanyakannya mengatakan mereka menggunakan khidmat penduduk tempatan atau pelajar Malaysia yang menetap di Arab Saudi.

Tegasnya, adalah mustahil khidmat tersebut boleh dilakukan dengan harga RM1,500 ke RM3,000 kerana Kementerian Haji Arab Saudi menetapkan harga yang lebih tinggi dari tawaran berkenaan.

Untuk makluman, pihak Kementerian Haji Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR 3,984 (RM4,819) hingga SAR 11,841 (RM14,323).

“Bayangkan sebagai penduduk tempatan Arab Saudi sendiri perlu membayar dengan kos yang agak tinggi bagi mereka untuk mengerjakan ibadah haji.

“Dengan kos yang dikenakan kepada penduduk tempatan seperti yang dinyatakan adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tegasnya, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan kos sedemikian yang ditawarkan mereka.

“Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa kepada mereka-mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata dengan mengenepikan soal halal dan haram.

“Kami mencadangkan agar kerajaan mengawal selia perkhidmatan badal haji mengikut perundangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji Arab Saudi dan bukannya boleh dilakukan sesuka hati tanpa ada pengawasan,” ujarnya.